Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi Ringkas Dan Mudah

Cara Buat Surat Kiriman Tidak Rasmi Ringkas Dan Mudah. Berikut dikongsikan cara menulis surat dan Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi. Semoga perkongsian akan dapat membantu pelajar dalam membuat karangan tidak rasmi yang merupakan karangan berformat.

Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi Ringkas Dan Mudah

Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi Ringkas Dan Mudah

Surat kiriman tidak rasmi adalah bersifat peribadi dan pada kebiasaannya dituliskan kepada ibu bapa. saudara mara, rakan-rakan dan sahabat pena. Terdapat beberapa jenis surat kiriman tidak rasmi yang biasa dibuat seperti berikut :-

  1. Bertanya khabar
  2. Surat tahniah
  3. Surat takziah
  4. Undangan

Dalam surat kiriman tidak rasmi, penggunaan kata ganti diri penerima sangat penting dalam penulisan. Berikut adalah senarai kata ganti diri yang biasa dibuat dalam penulisan :-

  • Ayah : Ayahanda
  • Ibu : Ibunda/bonda
  • Anak : Anakanda
  • Abang/kakak : Kakanda
  • Adik :  Adinda
  • Datuk/nenek : Nenda
  • Cucu : Cucunda

Format Surat Kiriman Tidak Rasmi

Diantara perkara yang penting dalam penulisan surat adalah mengikut format. Format Surat Kiriman Tidak Rasmi adalah seperti berikut:-

  1. Alamat pengirim di tulis di sudut atas sebelah kanan surat
  2. Tarikh ditulis di bawah alamat pengirim dengan meletakkan tanda noktah (.) di hujungnya
  3. Pembuka kata ditulis ke dalam sedikit dengan menyatakan di mana penerima berada, iaitu tempat, bandar atau negeri. Pembuka kata surat seperti “Menemui sabhabtku… dengan selamatnya atau semoga dalam keadaan sihat…”
  4. Kata panggilan seperti ayahanda, bonda, kakanda, adinda, saudara dan saudari ditulis pada sudut sebelah kiri, iaitu pada bahagian tepi surat.
  5. Pendahuluan surat biasanya bertanya khbar dan menyatakan keadaan diri pengirim.
  6. Perenggan isi dimulakan di sebelah dalam sedikit.
  7. Isi-isi penting ditulis dalam perenggan kedua dan seterusnya.
  8. Selepas penutup surat,tulislah “Yang ikhlas” atau “Yang benar” di sebelah kanan surat dan diikuti tanda koma (,) selepas itu.
  9. Tandatangan pengirim ditulis di sebelah kanan bahagian bawah surat.
  10. Gunakan bahasa yang mudah, baku dan tepat dalam karangan surat kiriman ini. Selain itu, murid juga boleh menggunakan ungkapan, kiasan atau peribahasa agar isi surat menjadi lebih menarik

Sumber

Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi 1

Rangka karangan : Sekolah anda baru selesai mengadakan hari kantin peringkat sekolah. Tulis sepucuk surat kepada kawan anda untuk menceritakan suasana hari kantin di sekolah anda

Pendahuluan

  • Alamat pengirim
  • Tarikh
  • Kata-kata aluan dan bertanya khabar

Isi utama

  1. Pihak sekolah mengadakan hari kantin dan kelas saya menyertainya
  2. Menjual burger dan berbincang tentang pengagihan tugas
  3. Mendapat sambutan menggalakkan, terpaksa menambah pesanan bekalan roti dan daging burger, menjadi tumpuan
  4. Memperoleh keuntungan memberansangkan, sebanyak RM 280 dan menagihkan keuntungan

Penutup

  • Gembira kerana mendapat pengalaman baru

Contoh Karangan Surat tidak Rasmi

Jamil Bin Kassim

No. 22, Jalan Kuda 5,

 Kg Cahaya Baru, Ayer Hitam

86100, Kluang

Johor

3 April 2008.

             Menemui sahabatku yang dirindui selalu. Apa khabar saudara di samping keluarga? Kami di sini sihat-sihat sahaja. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menceritakan sambutan hari kantin di sekolah saya.

Untuk makluman saudara, pada minggu lepas sekolah saya telah mengadakan hari kantin . Pada tahun ini, saya dan rakan-rakan sekelas turut melibatkan diri dalam menjayakan program tersebut.

Kami telah bersetuju untuk menjual burger dan saya telah dilantik menjadi ketua. Pada peringkat awal, kami telah berbincang untuk mengagihkan tugas masing-masing.

Semasa hari kantin, gerai kami telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Oleh sebab itu, kami terpaksa memesan tambahan bekalan roti dan daging burger. Gerai kami menjadi tumpuan kerana rasa burger kami lain daripada yang lain.

Untuk pengetahuan saudara, gerai kami beroleh keuntungan yang memberangsangkan. Keuntungan sebanyak RM280.00 telah kami agihkan kepada semua yang terlibat.

Kami berasa sungguh gembira kerana dapat satu pengalaman baru tentang aktiviti berniaga. Saya berharap agar saudara dapat menceritakan suasana hari kantin di sekolah saudara pula.

 Sahabatmu,

Jamil.

 

Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi 2

Anda bakal  menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Tulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR tersebut.

No 1, Lorong 12, Taman Tambun Jaya,
14000 Simpang Ampat,
Pulau Pinang.

12 Ogos 2016

Menemui sahabatku Syamimi yang kini berada di Alor Setar, Kedah. Semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

Apa khabar saudari sekarang? Saya harap saudari dan keluarga dalam keadaan sihat. Sudah agak lama kita tidak berjumpa. Surat saudari telah saya terima seminggu yang lau. Terima kasih kerana saudari masih mengingati saya di sini.

Dalam surat saudari yang lalu, saudari ada bertanyakan tentang persediaan saya menghadapi peperiksaan UPSR. Untuk pengetahuan saudari, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Langkah pertama saya saya ialah dengan mengubahsuai jadual waktu belajar. Saya akan menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran dari pukul 9.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

Para 3

Selain mengikuti kelas tambahan di sekolah, saya juga ada mengikuti kelas tambahan Pusat Tuisyen. Ibu bapa saya telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak tiga kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Saya akan segera bertanya guru sekiranya saya tidak faham supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya dengan berkesan. Program gerak gempur yang diadakan di sekolah amat membantu saya. Hampir setiap hari, saya dan rakan-rakan di kelas akan menjawab soalan latih tubi yang disediakan oleh guru-guru.

Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Simpang Empat untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Simpang Empat pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudari kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudari serta keluarga.

Sahabatmu,

………………………..
(Afiqah binti Aiman )

Semoga perkongsian Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi Ringkas Dan Mudah ini bermanfaat buat semua. Selamat menulis surat kiriman tidak rasmi.