Tarikh Dan Tema Maal Hijrah 1447H/ Tahun 2025. Apakah tema dan bilakah tarikh Maal Hijrah 2025 bersamaan dengan tahun Hijrah 1447? Membangun Ummah Madani adalah tema Maal Hijrah tahun ini. Tarikh Maal Hijrah/ Awal Muharram (1 Muharram 1447H) adalah pada hari Jumaat, 27 Jun 2025 yang merupakan cuti umum/ cuti sekolah kepada rakyat Malaysia.
Tema Maal Hijrah 2025/ 1447H
Berikut adalah maklumat berkaitan sambutan Maal Hijrah 2025 bersamaan dengan 1447 Hijrah di Malaysia :-
- Tema : Membangun Ummah Madani
- Hari : Jumaat, 27 Jun 2025
- Lokasi : Sambutan Peringkat Kebangsaan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur
- Seorang penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan akan dipilih dan bakal menerima wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan
Tema “Membangun Ummah Madani” yang dipilih ini menekankan usaha membentuk masyarakat Islam yang progresif, bersatu padu, dan berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam sejagat. Ia selari dengan visi Malaysia MADANI yang menitikberatkan aspek kemanusiaan, keadilan sosial, integriti serta pembangunan rohani dan fizikal secara seimbang.
Dalam konteks hari ini, pembangunan ummah bukan sekadar merujuk kepada pembangunan ekonomi atau fizikal semata-mata, tetapi turut mencakupi pembinaan jati diri Muslim yang kukuh, pengamalan adab dan akhlak Islam, serta usaha memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Tema Maal Hijrah Sebelum Ini
Untuk panduan, berikut adalah tema Maal Hijrah sebelum ini dari tahun 2018 hingga 2024:-
- 2024 : Al Falah Pemacu Malaysia Madani
- 2023 : Perpaduan Teras Malaysia Madani
- 2022 : Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran
- 2021 : Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti
- 2020 : Ummah Rabbani Negara Harmoni
- 2019 : Negara Rahmah, Ummah Sejahtera
- 2018 : Menyantuni Umat Membawa Rahmat
Doa Akhir Tahun Dan Awal Tahun Hijrah
Sempena dengan kedatangan tahun baru Islam 1447 Hijrah atau Awal Muharram, berikut dikongsikan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah sebagai panduan kepada umat Islam semua.
- Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
Maksud :
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala Puji bagi Allah Tuhan pemerintah seluruh alam. Allah SWT menurunkan rahmat dan kesejahteraanNya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarganya dan sahabat handainya sekalian.
Ya Allah apa yang aku kerjakan pada tahun ini daripada perkara yang Engkau tegah, aku tidak bertaubat daripadanya dan Engkau tidak meredainya, dan Engkau tidak melupainya, dan Engkau tidak memarahi aku sedangkan Engkau berkuasa menyeksa akan aku, dan Engkau memerintahkan aku untuk bertaubat setelah aku berani melakukan maksiat terhadapmu, maka aku memohon keampunan kepadaMu, ampunilah akan aku daripada yang aku lakukan padanya. Daripada perkara yang Engkau reda dan Engkau menjanjikan untuk memberi pahala. Oleh itu, aku pohonlah daripadaMu. Ya Allah, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, Engkau terimalah dariku, janganlah Engkau putuskan harapanku terhadapMu, wahai Tuhan Yang Maha Mulia.
Allah SWT telah menurunkan rahmat dan kesejahteraanNya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarganya dan sahabatnya kesemua. Segala puji bagi Allah SWT Tuhan pemerintah alam.”
- Manakala Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.
Maksud:
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala Puji bagi Allah Tuhan pemerintah seluruh alam. Allah SWT menurunkan rahmat dan kesejahteraanNya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarganya dan sahabat handainya sekalian.
Ya Allah Engkaulah yang abadi lagi kekal dan tidak ada permulaan. Atas kurniaanMu yang besar, kemurahanMu yang luas hari ini merupakan tahun yang baru, baru sahaja muncul. Kami memohon kepadaMu supaya memelihara kami daripada syaitan, penyokong- penyokong dan tentera-tenteranya, serta menolong kami menentang nafsu yang mengajak kepada kejahatan.
Dan menolong aku supaya sibuk melakukan amalan untuk mendekatkan aku kepadaMu wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Allah SWT telah menurunkan rahmat dan kesejahteraanNya ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan sahabatnya kesemua. Segala puji bagi Allah Tuhan pemerintah alam.
Untuk umat Islam semua, Salam Maal Hijrah.