Langkah-Langkah Untuk Memantapkan Perpaduan Kaum

Berikut dikongsikan Langkah Untuk Memantapkan Perpaduan Kaum Di Malaysia untuk mata pelajaran Sejarah PT3. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua pelajar.

Langkah-Langkah Untuk Memantapkan Perpaduan Kaum Di Malaysia Sejarah PT3

Langkah Untuk Memantapkan Perpaduan Kaum Di Malaysia ( pilih 3 sahaja )     

Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan , sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan persembahan pentas.

Cara Dan Langkah Untuk Memantapkan Perpaduan Kaum

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.
Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama
Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan pemupukan budi bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi dan diamalkan dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan. Adat istiadat ini mencirikan Kebudayaan Kebangsaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati ialah Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w,

Slogan 1Malaysia atau ‘Satu Malaysia’ adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysiakeenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara evolusi.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan TunAbdullah Ahmad Badawi

Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui ‘1Malaysia’. Hubungan kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar. Oleh yang demikian slogan ini sudah tentu menjadi satu pemangkin kepada perpaduan rakyat di negara ini.
Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.

(f) Rumusan

Pengetahuan 

Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini menginjak menjadi sebuah negara maju menjelang tahnun 2020. Antara faktor  utama kejayaan ini boleh dicapai ialah melalui situasai keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin atau tidak boleh dikompromi oleh sebarang faktor lain.
Berdasarkan peristiwa  13 Mei 1969  kita wajar  memperkuat semula perpaduan kaum di negara ini agar semua anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negara yang kita cintai ini.
Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara negara ini yang terjajah sekian lama dan memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin penjajahan ke atas negara ini tidak lagi akan berlaku .

Iktibar

Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama angota masyarakat.

Harapan

Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang/ peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar menjadi lebih bermakna akhirnya.
Langkah Untuk Memantapkan Perpaduan Kaum SUMBER : Cikgu Razak