Caj Rawatan Gigi Klinik Kerajaan Naik Bermula 1 Mac 2017

Kadar Terkini Caj Rawatan Gigi Klinik Kerajaan. Caj rawatan gigi di klinik kerajaan yang viral di media sosial kini sah akan naik bermula dari 1 Mac 2017 menurut pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia. Walau bagaimanapun, kadar baru ini hanya melibatkan pesakit Kelas 1 & 2 (Pesakit Yang Berkemampuan) dan ianya tidak akan dikenakan ke atas pesakit yang kurang berkemampuan (Kelas 3).

Caj Rawatan Gigi Klinik Kerajaan Naik

Caj Rawatan Gigi Klinik Kerajaan Naik Bermula 1 Mac 2017

Kadar baru caj rawatan gigi ini terkandung dalam surat pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan (KKM). Ianya bertarikh 26 Januari 2017 dengan rujukan (24) KKM.400-9/1/3 Jld.2 berkaitan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha (KSU) Bil 4/2017.

Mengikut pekeliling KKM, berikut adalah Caj Rawatan Gigi Klinik Kerajaan Naik Bermula 1 Mac 2017 :-

JENIS RAWATAN HARGA LAMA HARGA BARU KENAIKAN
CABUTAN GIGI RM1 RM15 RM14
CUCI GIGI RM2 RM55 RM53
TAMPALAN GIGI RM2 RM25 RM23

Untuk makluman, kadar kenaikan adalah di antara RM14 sehingga RM53.

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

CAJ RAWATAN PERGIGIAN DI FASILITI KESIHATAN KERAJAAN MASIH TERUS DIBERI SUBSIDI YANG TINGGI

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Rakyat Malaysia sememangnya telah dan akan terus menerima perkhidmatan kesihatan bersubsidi tinggi oleh Kerajaan di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Termasuk perkhidmatan bersubsidi tinggi kepada pesakit dalam Kelas 3. Kabinet telah memutuskan untuk mengemaskini kadar caj bagi pesakit warganegara di Kelas 1 dan 2 yang terkandung dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982. Seperti yang dimaklumkan dalam Kenyataan Akhbar KKM pada 14 November 2016. Adalah dimaklumkan bahawa caj ini telah sudah sekian lama tidak dikemaskini iaitu sejak ianya mula dikenalkan pada tahun 1982. Namun begitu, pesakit dalam bagi Kelas 3 akan terus menerima perkhidmatan kesihatan bersubsidi tinggi seperti sebelum ini.

Viral Di Media Sosial

KKM ingin menjelaskan mengenai mesej tular berkaitan kenaikan caj pergigian yang telah tersebar di media sosial. Adalah dimaklumkan bahawa kos rawatan yang baru tersebut sebenarnya menggambarkan kos asas semasa pada tahun 2017 bagi rawatan pergigian di Malaysia. Iaitu sekiranya ianya diberikan tanpa subsidi kepada rakyat. Namun begitu, memandangkan Kerajaan adalah terus komited untuk memberikan subsidi terutamanya bagi pesakit Kelas 3 (yang menerima 98 peratus subsidi bagi kos rawatan perubatan dan pergigian).

KKM ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia. Bahawa Kerajaan tidak akan melepaskan tanggungjawabnya kepada golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah. Mereka akan terus menerima tahap penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi pada kadar yang amat berpatutan seperti yang telah mereka terima sebelum ini.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
1 FEBRUARI 2017

Sumber FB KKM

Adalah diharapkan kerajaan tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan.