Jenis-Jenis Pengangkutan Di Malaysia

Jenis-Jenis Pengangkutan Di Malaysia. Berikut dikongsikan jenis-jenis pengangkutan yang terdapat dan digunakan di Malaysia. Sistem pengangkutan merupakan nadi kepada pembangunan sesebuah negara.  Ianya merupakan  salah  satu  cara  sistem  perhubungan  yang  terpenting  yang  dipraktikkan sejak  dahulu  lagi  bagi  mencapai  sesuatu  maksud  tertentu. Keperluan untuk perlunya sistem pengangkutan wujud walaupun dalam masyarakat yang belum mencapai pembangunan ekonomi yang tinggi. Apabila ekonomi sesuatu kawasan makin pesat dan membangun, permintaan untuk sistem pengangkutan yang lebih maju semakin meningkat.

Jenis-Jenis Pengangkutan Di MalaysiaFungsi Pengangkutan

Selain fungsi ekonomi, pengangkutan juga mempunyai fungsi lain seperti fungsi sosial untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia sama ada ahli keluarga atau sahabat handai. Dengan adanya sistem pengangkutan yang lebih baik manusia boleh memilih untuk bekerja di sesuatu tempat terutama di tengah bandar di mana majikan boleh menawarkan gaji yang lumayan tetapi pada masa yang sama memilih untuk tinggal di kawasan pilihan mereka yang berdekatan. Pengangkutan juga membolehkan manusia mengurusakan masa santainya dengan cara terbaik.

Di bandar, sebahagian besar penyediaan kemudahan adalah untuk memenuhi permintaan bergerak daripada pengguna, dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Antaranya adalah untuk menghubungkan pengguna ke tempat bekerja, pusat perkhidmatan, sekolah dan institut pengajian, tempat membeli belah dan sebagainya. Penyediaan mod pengangkutan yang pelbagai, adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat memilih mod pengangkutan yang lebih mesra pengguna, selamat, selesa dan ekonomik.

Pengangkutan juga dilihat sebagi pemangkin yang mampu melonjakkan pembangunan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan maklamat untuk meningkatkan Pengeluaran barangan dan perkhidmatan, penjanaan, guna tenaga dan pembangunan masyarakat seluruhnya. Pengangkutan berfungsi sebagai faktor integrasi dan koordinasi dalam masyarakat yang komplek terutamanya dalam masyarakat perusahaan. Pegangkutan berkait rapat dengan pergerakan barangan.

Jenis-Jenis Pengangkutan Di Malaysia

Pengangkutan boleh dibahagiakan kepada pelbagai jenis. Jika dikaitkan dengan mod atau ragam pengangkutan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu pengangkutan darat, pengangkutan air, pengangkutan udara dan beberapa lagi seperti dikongsikan di bawah ini.

1. PENGANGKUTAN DARAT

Pengangkutan darat biasanya dikaitkan dengan kenderaan yang menggunakan jalan raya sebagai laluan. Antaranya ialah kenderaan persendirian seperti kereta dan juga motosikal, pengangkutan awam seperti bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan juga kereta sewa, serta kenderaan perdagangan seperti lori, bas kilang dan juga treler. Setiap jenis kenderaan mempunyai fungsi serta kapasiti masing-masing. Sebagai contoh, kenderaan persendirian memberi kelebihan dari segi penjimatan masa, perkhidmatan dari pintu ke pintu dan kebolehsampaian. Walau bagaimanapun, kenderaan persendirian hanya mampu menampung 4 hingga 5 orang penumpang untuk kereta ataupun 6 hingga 8 orang untuk kenderaan serba guna (MPV).

2. PENGANGKUTAN UDARA

Pengangkutan udara adalah pilihan untuk mengguna yang mementingkan perkhidmatan dari segi kelajuan dan keselesaan walaupun ianya mahal. Pengangkutan udara selalunya digunakan untuk perjalanan jarak jauh dalam negeri atau luar negara. Ianya terbahagi kepada perkhidmatan pengangkutan penumpang dan juga barangan (kurier). Antara syarikat perkhidmatan udara terkenal di Malaysia adalah Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

3. PENGANGKUTAN REL

Tahap kemajuan pengangkutan rel kini semakin maju di Malaysia. Ianya bermula dari penggunaan kuda sehinggalah penggunaan enjin wap pada awal abad ke-19. Penggunaan Kereta api di Malaysia pada permulaannya adalah untuk mengangkat bijih timah yang bermula pada 1 Jun 1885 dari Taiping ke Port Weld. Pada tahun 1920-an, kereta api mula menggunakan diesel sehinggalah kemajuan terkini menyaksikan kereta api kini menggunakan tenaga elektrik. Kereta api terdiri daripada beberapa kenderaan berlandasan yang boleh bergerak bersama untuk membawa muatan atau penumpang dari satu tempat ke tempat yang lain melalui laluan tertentu.

4. PENGANGKUTAN MARITIM (LAUT/ AIR)

Sektor perkapalan dan pengangkutan melalui jalan laut telah bertambah dengan pesat. Ini terbukti dengan kewujudan pelabuhan dan kemudahan maritim bertaraf dunia di Malaysia seperti di Pulau Pinang, Klang dan Tanjung Pelepas. Perkhidmatan pengangkutan untuk penumpang biasanya digunakan menggunakan feri untuk menghubungkan penduduk di kawasan tanah besar ke pulau-pulau di sekitarnya. Penggunaan bot/ sampan juga masih digunakan di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak boleh dihubungi melalui jenis pengangkutan lain.

Kesimpulan

Tanpa sistem pengangkutan, sesuatu masyarakat itu tidak akan dapat berkembang maju dan menerima perubahan dalam sistem sosial, ekonomi dan sebagainya. Pengangkutan juga mempunyai fungsi yang berkaitan dengan pertambahan penduduk, perkembangan bandar dan guna tanah. Pengangkutan boleh mengubah bentuk perkembangan bandar. Pada masa dahulu, pertambahan penduduk hanya tertumpu pada kawasan yang mempunyai sosioekonomi tertentu tetapi dengan perkembangan pengangkutan, perkembangan bandar adalah mengikut perkembangan sistem pengangkutan.